Press Release

 

KOLEJ UNIKOP SEBAGAI PUSAT KERJASAMA OUM UNTUK PDRM

 

Kerjasama Strategik antara Kolej UNIKOP dan OUM

Kuala Lumpur, 8 Mac 2016: Kolej UNIKOP hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Open University Malaysia (OUM) bagi memberi lebih peluang pendidikan kepada pelajar UNIKOP dan warga PDRM untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi serta dapat meningkatkan ilmu, kemahiran dan kecekapan masing-masing.

Mereka yang berkelayakan, berpeluang mengikuti lebih 50 program pengajian yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) secara terbuka dan jarak jauh dari peringkat diploma hingga Ijazah Doktor Falsafah di OUM atau program sepenuh masa di International Open College (IOC).

Selain program akademik, mereka juga berpeluang mengikuti program latihan industri dan profesional yang disediakan oleh Institute of Professional Development (IPD) (OUM). OUM juga telah membangunkan aplikasi-aplikasi teknologi bagi membolehkan pelajar mengakses pembelajaran mereka melalui kaedah atas talian. Peningkatan keupayaan jalur lebar di pusat pembelajaran seluruh Negara bagi menyediakan proses pembelajaran yang lebih efektif dalam kalangan pelajar.

Ketua Polis Negara, merangkap Yang Dipertua Koperasi Polis DiRaja Malaysia, YDH Inspektor Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Khalid Bin Abu Bakar yang merasmikan Majlis tandatangan MOU dan MOA, dalam ucapan beliau menganggap kerjasama tersebut sebagai suatu usaha yang amat bermanfaat dalam membangunkan potensi Ahli Koperasi Polis DiRaja Malaysia (KPD) dan Warga Polis DiRaja Malaysia (PDRM). PDRM sentiasa memberi galakan terhadap program-program pendidikan yang dapat melahirkan graduan-graduan polis yang lebih berpengetahuan dan berkemampuan dalam menghadapi tugas yang semakin mencabar. Kekuatan ilmu ini sekali gus diharap dapat memberi ‘nilai tambah’ kepada perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat.

Terima kasih kepada KOLEJ UNIKOP yang telah berjaya melahirkan graduan-graduan dari kalangan warga PDRM, melalui Program Usahasama Universiti Teknologi MARA sebelum ini.

Hari ini, UNIKOP mencipta sejarah lagi dengan termeterainya MoU dan MoA dengan pihak OUM bagi memberi peluang kepada warga PDRM untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Justeru, persefahaman dan perjanjian yang termeteri pada hari ini akan memberi peluang dan kemudahan kepada warga polis kita untuk menimba ilmu dengan lebih fleksibel, bersesuaian dengan penugasan mereka pada hari ini.

Ketua Polis Negara juga mengalu-alukan dan menyambut baik agar semua ahli-ahli KPD dan PDRM yang layak dan berminat serta anak-anak mereka untuk mengambil peluang keemasan di atas kerjasama ini.

“Semoga kerjasama antara OUM dan Kolej Unikop ini diharap dapat dijadikan sebagai “batu loncatan” untuk mendapatkan pendidikan diperingkat pengajian tinggi dengan cara yang lebih fleksible”, ujar beliau.

Nota:

Majlis tandatangan MOU dan MOA ini, Kolej UNIKOP telah diwakili oleh Y.Bhg. Datuk Mohd. Nazar B. Samad sebagai Pengerusi Kolej Unikop (IPTS Milik Penuh Koperasi Polis DiRaja Malaysia) dan Y.Bhg. En. Mohamad Islahudin B. Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Manakala Open University Malaysia diwakili oleh Y.Bhg. Prof Dato’ Dr. Mansor Fadhil, Presiden/Naib Canselor OUM dan Y.Bhg. Prof. Dr Ahmad Hashem Vice Presiden (Pembangunan Perniagaan & Teknologi) Open. Majlis ini disaksikan oleh YDH Inspektor Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Khalid B. Abu Bakar, Ketua Polis Negara.

27272727
272727